PENJUAL UBAT
"Aku menulis bukan kerana nama"

Serikandi Revolusioner..

SITI MARIAM IDRIS SERIKANDI REVOLUSIONER LUBUK KAWAH

Siti Mariam Idris mempunyai beberapa nama perjuangan, antaranya Atom, Tabah, Sitah, tapi setiap perajurit menyapanya dengan panggilan Tun. Beliau adalah salah seorang komander kompeni Rejimen Ke-10 dan ahli Jawatankuasa Kawasan PKM. Di dalam pasukan, beliau juga merupakan ibu yang pengasih bagi para perajurit baru baik lelaki mahupun wanita.

Beliau dilahirkan di Kampung Balik Gantang, Mukim Sanggang, Daerah Temerloh, Pahang pada 15 Disember 1927,  akan tetapi membesar di Lubuk Kawah.

Ayahnya Idris seorang petani miskin dan juga seorang guru silat, meninggal dunia ketika Siti Mariam berumur 11 tahun. Ibunya bernama Saadiah,  bekerja sebagai petani.

Siti Mariam yang merupakan kakak sulung kepada  6 adik tak berkesempatan bersekolah kerana kemiskinan keluarga. Walau bagaimanapun, beliau berpeluang mengaji Al-Quran.

Tahun 1946, beliau menjadi anggota AWAS menjalankan kerja propaganda menentang penjajah British untuk kemerdekaan tanah air, menyertai perarakan ajuran AWAS dan PETA dan lain-lain.

Tahun 1948, gerakan kemerdekaan mencapai pasang naik yang baru. Anggota-anggota PKMM, PETA, AWAS mengadakan rapat-rapat umum di mana-mana dan secara terbuka mengutuk kaum penjajah dan menuntut kemerdekaan penuh tanah air. Siti Mariam adalah antara anggota aktif dalam perjuangan tersebut.

Jun 1948, penjajah British isytiharkan udang-undang darurat, tentera, polis dan hantu-hantu penjajah British sentiasa datang ke kampung-kampung  melakukan pemeriksaan dan penggeledahan.

Rumahnya pernah diserbu 9 kali dalam sehari. Ibunya seorang yang kuat menyokong revolusi, pernah ditangkap dan disiksa sehingga patah tulang rusuk. Ibunya kemudian dihalau ke Lamai. Seorang warisnya bernama Omar yang menjadi lasyakar rakyat di kampung pernah ditahan dan digantung sampai mati.

Siti Mariam menyertai revolusi atas restu  emaknya pada bulan Mei 1949 bersama kira-kira 40 orang pemuda pemudi Lubuk Kawah.

Suaminya Udin (orang Indonesia) dan adiknya Hashim menyertai perjuangan bersenjata pada tahun 1948, tetapi berpecah dengan pasukan dalam peristiwa Padang Piol pada penghujung tahun 1949 dan meninggalkan perjuangan.

Antara kaum keluarganya yang menyertai perjuangan bersenjata ialah Pakwa Said, Uda (pak saudara), Mek Itam  Zauyah dan suaminya, Makngah Minah, Zam, Ibrahim Chik dan lain-lain.

Di dalam pasukan, Siti Mariam berkhidmat dalam regu penyusun massa di Lubuk Kawah.

Pada tahun 1953, Siti Mariam dipilih ke dalam pasukan Hang Jebat melakukan perjalanan jauh ke utara. Sepanjang perjalanan beliau dan rakan-rakannya menempuhi penderitaan yang tak terperikan yang sukar ditempuhi oleh manusia biasa. Usah dikatakan pertempuran, pengeboman  dari tentera penjajah, hanya tak makan nasi setahun lebih sudah cukup membuktikan yang beliau dan rakan-rakannya memiliki tekad juang yang teguh tak tergoyahkan. Mereka rela bergalang tanah daripada menjadi anjing buruan kaum penjajah.

Di kawasan sempadan, beliau ditugaskan menyusun massa dan membangun basis baru di sempadan. Sambutan orang kampung sangat baik. Pergaulannya dengan massa sangat rapat. Walaupun terdapat perbezaan  bahasa loghat antara orang Melayu kawasan sempadan dan Pahang, tetapi beliau dan rakan-rakannya dapat memenangi perasaan massa rakyat dengan tindakan yang nyata.  Massa rakyat bukan saja menganggap mereka sebagai perajurit tentera rakyat, tetapi sebagai anak angkat mereka.

Mulai tahun-tahun 1960an, pasukan Rejimen Ke-10 terus menerus membesar dengan kemasukan putera-puteri terpuji dari kawasan sempadan. Bagi perajurit-perajurit tersebut Siti Mariam bukan sahaja seorang kader veteran, tetapi juga seorang ibu yang pengasih lagi penyayang. Kepada beliaulah perajurit lelaki dan wanita mencurahkan perasaan suka duka.

Sebagai seorang pejuang veteran beliau pernah bertugas sebagai perajurit biasa, ketua seksyen, ketua platun sehigga ke peringkat kompeni.

Selepas perdamaian, beliau memilih untuk menetap bersama rakan seperjuangan di Sukhirin. Ketika ditanya apakah beliau merasa menyesal kerana menyertai  perjuangan selama puluhan tahun, beliau menjawab, “saya merasa mulia kerana dapat membuat sedikit sumbangan untuk kemerdekaan tanah air. Kalau tidak kerana itu, apa yang dapat saya sumbangkan untuk tanah air dan bangsa saya?”

Beliau meninggal dunia pada hari Jumaat, 5 November 2010 di Kampung Perdamaian Sukhirin (Kampung Chulabhorn Patana 12), Tambhon Sukhirin, Amphor Sukhirin, Wilayah Narathiwat dalam usia 83 tahun. Pemergiannya ibarat kehilangan sebutir mutiara bagi rakan seperjuangan di Sukhirin.

Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya  ke atas roh beliau. Amin.

http://matamin02.blogspot.com

No Responses to “Serikandi Revolusioner..”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: