Dahulu bila ada pimpinan PAS yang membuat pertemuan dengan pihak UMNO didalam gelap, ramai yang bising. Sekarang giliran Ketua Pemuda PAS Pusat pula mencuba nasib dengan membuat pertemuan secara terang. Hairan sungguh, tidak bolehkah kalau berhenti berfikir tentang hendak berjumpa dengan UMNO? Hebat sangatkah UMNO sekarang? Pimpinan PAS sudah seperti tidak ada kerja lain selain memikir tentang hendak berjumpa dengan UMNO.
Tidak perlulah bersusah payah memberi sebarang alasan, fikirlah nasib Pakatan Rakyat terutamanya PAS dalam pilihanraya umum akan datang? Ketua Pemuda sepatutnya berfikir macam mana hendak menawan semula Terengganu, tentu ada yang tidak kena bila PAS masih gagal menawannya kembali.
Pihak DAP sudah pun mengeluarkan kenyataan yang mengatakan mereka kecewa dengan sikap Pemuda PAS Pusat. Bagaimana dengan janji yang dibuat dengan pihak DAP dan PKR sebelum pilihanraya umum yang lalu? Janganlah berperangai macam orang munafik.
Apa yang tidak kena dengan Pakatan Rakyat? Dimanakah kesepakatan kita dengan DAP dan PKR? Dimana silapnya DAP dan PKR? Siapa yang berada dibelakang Nizar sewaktu UMNO BN merampas Kerajaan Negeri Perak? Malah sebelum itu ada pula pemimpin PAS yang minta diadakan kerajaan campuran dengan UMNO di Perak selepas pilihanraya umum yang lalu, kita perlu meminta didedahkan nama-nama mereka supaya semua orang tahu siapa pemimpin PAS yang berjiwa UMNO tersebut.
Pihak media UMNO pula boleh dikatakan setiap hari menyerang Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Nik Aziz b. Nik Mat. Kenapa kita tidak pernah mendengar Ketua Pemuda PAS Pusat mempertahankan beliau? Agaknya Ketua Pemuda PAS Pusat tidak bersetuju dengan sikap Mursyidul Am PAS tersebut yang sebelum ini menentang keras sebarang perbincangan dengan pihak UMNO.
Seorang Ketua Pemuda PAS dari satu Negeri pula ketika dihubungi dan diajukan perkara ini telah berkata sekurang-kurangnya rakyat atau masyarakat boleh dengar perbincangan itu dan mereka akan sedar selepas itu kenapa kita tidak boleh menyokong UMNO, soalnya adakah pihak UMNO mahu diadakan perbincangan sekiranya ia tidak akan menguntungkan mereka?
Apakah motif sebenar Ketua Pemuda PAS Pusat berbuat sedemikian? Hendak menunjuk kewibaan sebagai Ketua Pemuda PAS yang barukah atau mungkin ada agenda yang tersembunyi disebalik serban besar Ketua Pemuda PAS Pusat tersebut, jika tidak masakan sibuk sangat hendak berjumpa dengan pihak UMNO ini.
