Archive for September, 2008

Adun BN minta azan dihentikan..

Posted in Uncategorized on September 30, 2008 by penjualubat

Ramai mungkin sudah lupa suatu ketika dahulu ada Adun BN dari Parti Gerakan di Pulau Pinang pernah meminta supaya laungan azan dihentikan kerana kononnya mengganggu ketenteraman orang ramai, mengapakah waktu itu puak-puak UMNO tidak ada seorang pun berani menegur Adun tersebut? Malah tidak ada memorandum pun dihantar untuk membantah tindakan Adun tersebut.

Ternyata Adun tersebut bernasib baik kerana BN memerintah Pulau Pinang ketika itu dan memang malang nasib Ahli Parlimen Seputih,Teresa Kok. Beliau baharu dituduh meminta laungan azan dihentikan dan walau pun beliau menafikan berbuat demikian beliau diambil tindakan dengan ditahan dibawah ISA. Walau pun Teresa Kok akhirnya dibebaskan namun kita boleh lihat bagaimana sikap pihak kerajaan pusat yang memerintah sekarang.

Doa Mat Sabu untuk Lim Guan Eng..

Posted in Uncategorized on September 29, 2008 by penjualubat

Jika kita mengejar dunia, dunia akan lari dari kita tetapi jika kita mengejar akhirat dunia akan kita dapati, kata-kata Saidina Ali itu disebut oleh Naib Presiden PAS, Hj. Mohammad Sabu ketika memberi tazkirah ramadan disurau kampungnya di Pulau Pinang semalam.

Beliau kemudiannya memberi contoh Memberi Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sebagai seorang yang boleh mendapati kesenangan dunia dengan status yang beliau ada tetapi memilih cara hidup yang sederhana dan boleh pula memberi kuliah-kuliah ugama kepada rakyatnya. Hasil dari cara hidup beliau yang sebegitu, beliau sudah beberapa penggal dikurniakan Allah dapat terus menjadi pemimpin Negeri Kelantan.

Contoh lain pula yang disebut oleh beliau adalah pemimpin Hizbullah Lubnan, Hassan Nasrullah. Hassan Nasrullah telah menghantar dua orang anaknya sendiri kemedan perang menentang Yahudi dan kedua anak-anaknya telah syahid. Beliau merupakan seorang pemimpin Islam yang amat digeruni oleh puak Yahudi.

Beliau kemudiannya menyebut tentang Presiden Iran, Mahmood Ahmedinejad. Menurut beliau Presiden Iran itu seorang yang amat sederhana dalam hidupnya, beliau membawa bekal makanan yang disediakan oleh isterinya bila kepejabat. Beliau begitu disenangi oleh rakyat Iran dan amat digeruni oleh kuasa besar dunia iaitu Amerika.

Menurut Haji Mohammad Sabu lagi, kita umat Islam di Malaysia juga patut rasa malu kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Walau pun beliau bukan berugama Islam Ketua Menteri tersebut berulang kali telah mengatakan beliau akan mencontohi corak pemerintahan beberapa pemimpin Islam yang adil dalam pentadbirannya, beliau juga seorang yang sederhana hidupnya dan amat berhati-hati dalam menguruskan kewangan kerajaan negeri dan sentiasa mengambil berat keadaan rakyat dibawahnya. Amaran juga telah diberi oleh beliau supaya sesiapa pun jangan cuba merasuah pegawai-pegawai kerajaannya.

Diakhir tazkirah Hj. Mohammad Sabu kemudiannya menyebut beliau sentiasa berdoa semoga Lim Guan Eng akan memeluk Islam satu hari nanti.

Perebutan Kuasa bukannya Peralihan Kuasa..Lim Guan Eng.

Posted in Uncategorized on September 28, 2008 by penjualubat

Apa yang berlaku sekarang bukannya peralihan kuasa tetapi perebutan kuasa, demikian ulasan yang diberi oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada para wartawan mengenai kononnya akan berlaku peralihan kuasa nanti antara dua pemimpin tertinggi UMNO itu.

Beliau berkata demikian selepas satu majlis menandatangani  jual beli tanah untuk tujuan pembangunan Hospital “Resort” antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan Kumpulan Perubatan Farrali Mutiara Sdn. Bhd. di Pulau Pinang.

Sekiranya PM benar-benar melepaskan jawatannya penggantinya juga seorang yang bermasalah, menurut beliau lagi. Beliau juga mengecam tindakan kediaman ibu-bapa Ahli Parlimen Seputih Teresa Kok yang dilontar bom petrol semalam.

Turut mengecam perbuatan tersebut ialah Hj. Mohammad Sabu yang turut berada didalam majlis tersebut. Perbuatan seperti ini sering berlaku apabila pihak pemerintah berada didalam keadaan lemah dan ada pihak tertentu cuba membangkit sentimen perkauman yang meraih kembali sokongan, menurut Naib Presiden PAS itu lagi.

Pak Lah tumbang di Kepala Batas..

Posted in Uncategorized on September 23, 2008 by penjualubat

Pak Lah tumbang di Kepala Batas..itu berita yang diperkatakan di kawasan Parlimen Perdana Menteri itu semalam. Sebenarnya yang tumbang adalah papan tanda yang menunjukkan gambar Pak Lah sedang berdoa akibat ribut dan hujan lebat semalam. Gambar itu terletak dipintu masuk rumah ibunya di Kepala Batas.

Ramai yang berkata dengan tumbangnya gambar tersebut ianya mungkin membawa maksud Pak Lah sendiri akan benar-benar tumbang sedikit hari lagi akibat keadaan politik tanahair yang sudah tidak menentu sekarang ini. Sama-sama kita tunggu.

Permit Ceramah Mat Sabu ditarik disaat akhir..

Posted in Uncategorized on September 22, 2008 by penjualubat

Ceramah sempena memperingati Peperangan Badar Al Qubra anjuran Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang yang dijadualkan disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Tuan Hj. Mohammad Sabu bertempat  di Padang Bandaran Butterworth semalam telah ditarik balik permitnya disaat akhir oleh pihak polis. Walau bagaimana pun dengan kerjasama pihak polis Tuan Hj. Mohammad Sabu diberi kebenaran berucap lebih kurang 15 minit kepada para hadirin.

Sebelum itu ucapan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Hafiz Nordin telah dihalang oleh pihak polis sehinggakan hampir terjadinya sedikit ketegangan yang mengakibatkan seorang anggota Unit Amal ditahan oleh pihak polis.

Antara ucapan ringkas Tuan Hj. Mohammad Sabu, beliau menanyakan kepada para hadirin apakah mereka bersetuju Bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang menimbulkan isu perkauman baru-baru ini ditahan dibawah ISA. Apabila para hadirin yang hadir menjawab setuju, beliau membantah dengan mengatakan dia tidak setuju. Ini adalah kerana ISA adalah satu kezaliman dan ianya tidak patut digunakan walau pun sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan.

ISA bukan sahaja ditentang oleh rakyat biasa sahaja sekarang ini, malah sudah ada Menteri Kabinet Kerajaan BN sendiri sanggup meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan ISA, perkara seperti ini belum pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah tanahair kita, menurut beliau lagi.

3 Renungan Tazkirah 10 malam terakhir Ramadan..

Posted in Uncategorized on September 20, 2008 by penjualubat

Masih ramai yang datang berterawih menunggang motor yang mempunyai dua ekzos, satu ekzos dibelakang dan satu lagi didepan, yang canggihnya kedua-duanya berasap..

Ada yang bersungguh-sungguh mencari Lailatulqadar tetapi masih ramai yang mementingkan LailatulKAMDAR..

Nabi SAW bersolat sehingga kaki baginda membengkak tetapi masih ramai yang bila kaki membengkak baru ingat hendak bersolat..

Beranikah Pak Lah??

Posted in Uncategorized on September 19, 2008 by penjualubat

Dua tiga hari lepas Pak Lah telah mencabar Anwar supaya menyebut nama-nama Ahli Parlimen BN yang dikatakan Anwar akan melompat ke Pakatan Rakyat.

Hari ini Anwar pula mencabar Pak Lah supaya mengadakan sidang tergempar Dewan Rakyat bagi membahaskan usul tergempar terhadap kerajaan pimpinannya. Menurut Anwar lagi beliau telah membuat permohonan rasmi supaya Parlimen mengadakan sidang tergempar untuk membahaskan usul tidak percaya terhadap kepimpinan BN selewat-lewatnya 23 September ini.

Kamu lihatlah dalam sidang parlimen itu jika tidak percaya, kamu tidak boleh melengah-lengahkannya lagi kerana majoriti Ahli Parlimen sudah bersama kami, menurut Anwar lagi. Beliau juga menjelaskan nama-nama Ahli Parlimen yang dikatakan akan melompat tidak dapat diberitahu sekarang kerana tidak mahu mereka diganggu.

Kita bolehlah membuat penilaian sekarang cabaran mana yang lebih boleh diterima, sekiranya PM hendak tahu sangat siapa Ahli-Ahli Parlimen yang dikatakan akan menyeberang ke Pakatan Rakyat, beliau harus berani menerima cabaran Anwar supaya sidang tergempar Dewan Rakyat itu diadakan. Soalnya sekarang, beranikah Pak Lah?

Anwar, Mahathir, Pak Lah & Najib..

Posted in Uncategorized on September 18, 2008 by penjualubat

Anwar merupakan suatu ancaman kepada negara sekarang, menurut PM. Anwar akan ditahan dibawah ISA buat kali ketigakah selepas ini?

Mahathir menggesa agar UMNO, MCA dan GERAKAN bersatu untuk memaksa PM melepaskan jawatan demi memulihkan BN. Itu berita sms yang diterima hari ini. Sekiranya benar berita ini bermakna  Mahathir belum kembali kepada UMNO sudah berduri apatah lagi kalau beliau diterima kembali menjadi ahli UMNO.

Pak Lah pula telah mengambil alih jawatan sebagai Menteri Pertahan pula sekarang, menurut Malaysiakini  para pemerhati berkata langkah tersebut sebagai jaminan kepada Najib bahawa beliau akan mengambil alih jawatan nombor satu itu tetapi ada juga yang terfikir adakah PM hendak menggunakan tentera selepas ini untuk mempertahankan kuasanya.

Datuk Najib sudah menjadi Menteri Kewangan sekarang, yang paling gembira tentu isteri beliau. Shopping sakan la selepas ini.

Jadi ke tidak??

Posted in Uncategorized on September 17, 2008 by penjualubat

Jadi ke tidak ni? Kata 16 September, ini dah masuk 17 September. Itu pertanyaan yang bermain difikiran rakyat Malaysia hari ini. Apa yang aku boleh katakan, kita bersabar. Tunggu dan lihat.

Anwar tentu ada strateginya. Dia orang yang bijak, tengok sahaja dahulu semasa dia hendak melawan Tun Ghaffar Baba bagi merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO. Perwakilan UMNO dari Sabah ketika itu menyokong Tun Ghaffar tetapi bila sampai di Kuala Lumpur terus bertukar fikiran dengan menyokong beliau, itu tandanya Anwar bijak mengatur strategi.

Aku sebenarnya sama dengan sebilangan penyokong PAS. Kami bukannya suka sangat dengan Anwar tapi bagi kami menjatuhkan BN terutamanya UMNO itu lebih penting. Kita sudah tidak boleh mempercayai kepada BN lagi. Sudah 50 tahun lebih BN memerintah, kalau dinegara lain sudah lama BN berkubur. Hendak buat macam mana, rakyat Malaysia lambat peka. Baru sekarang ada sedikit kesedaran. Inilah satu-satunya peluang untuk menukar kerajaan. Selepas ini kalau Anwar tak betul kita lawan dia pula, SETUJU??

Antara 2 Peralihan Kuasa..

Posted in Uncategorized on September 16, 2008 by penjualubat

Hari ini 16September 2008 (5.05pagi), rakyat Malaysia menunggu matahari muncul, menantikan apakah benar-benar terjadi peralihan kuasa dari Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat. Penasihat PKR Datuk Sri Anwar Ibrahim yakin ianya akan berlaku.

Perdana Menteri, Pengerusi BN, Presiden UMNO, Datuk Sri Abdullah Badawi juga yakin, ianya tidak akan berlaku.

Seluruh dunia melihat.

Tahun 2010, kononnya akan berlaku peralihan kuasa antara Perdana Menteri Datuk Sri Abdullah Badawi kepada Timbalannya Datuk Sri Najib Tun A. Razak.

Mungkinkah Datuk Najib akan kempunan?