Archive for August, 2008

Orang Permatang Pauh macam Orang Kelantan..

Posted in Uncategorized on August 27, 2008 by penjualubat

Pemikiran orang Permatang Pauh semacam dengan orang Kelantan. Kata-kata ini aku pernah dengar sebelum pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh bermula lagi. Ternyata ianya benar. Walaupun bermacam-macam senjata telah digunakan oleh BN ternyata ianya langsung tidak memberi kesan kepada rakyat Permatang Pauh.

Rakyat Permatang Pauh  memang tidak takut untuk membuat perubahan. Ini boleh dibuktikan dalam tahun 70an lagi. Waktu itu PAS memang tidak mendapat tempat dihati rakyat tetapi rakyat Permatang Pauh dengan berani memilih Allahyarham Hj. Zabidi Ali dari PAS sebagai ahli Parlimen kawasan tersebut.

Sampai sekarang ternyata rakyat Permatang Pauh tidak takut untuk membuat keputusan. Sekiranya mereka melihat kebenaran, segala bentuk kebendaan, muslihat dan tipu daya BN tidak akan mendapat perhatian dari mereka. Kita memang boleh menyamakan mereka dengan rakyat Kelantan.

MB Kedah berkecil hati..

Posted in Uncategorized on August 25, 2008 by penjualubat

Menteri Besar Kedah Datuk Sri Azizan Razak kelihatan begitu berkecil hati dengan tindakan pengerusi majlis dan petugas PKR yang menyuruh beliau berhenti dari memulakan ucapannya walaupun beliau sudah memberi salam kepada orang ramai yang hadir untuk mendengar ceramah beliau.

Tujuan pengerusi majlis dan petugas PKR berbuat demikian adalah untuk memberi peluang kepada Ramlang Porigi Imam Masjid Wilayah Persekutuan yang terlibat sebagai saksi kes sumpah laknat Saiful Bukhari berucap dahulu.

Kejadian ini berlaku ketika kempen ceramah pilihanraya Parlimen Permatang Pauh yang diadakan malam tadi di Kg. Masjid Timah, Permatang Pauh. Rasanya memang tak wajar penganjur ceramah berbuat sedemikian terhadap beliau apatah lagi beliau sudah berada diatas pentas, sebagai orang tua memang patut beliau terasa hati. Beliau kemudiannya terus berlalu pergi dari situ tanpa menunggu untuk menyambung semula ucapannya tadi.

Pilihanraya kecil paling aman..Mat Sabu.

Posted in Uncategorized on August 25, 2008 by penjualubat

Naib Presiden PAS Hj. Mohammad Sabu malam tadi menyifatkan pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh sebagai suatu pilihanraya kecil paling aman pernah beliau lihat sepanjang karier politik beliau. Menurut beliau lagi jika sebelum ini pernah terdapat ahli PAS yang terbunuh dan ada juga yang tercedera hingga dimasukkan kehospital ketika pilihanraya kecil tetapi ianya tidak berlaku di Permatang Pauh.

Beliau kemudiannya menyanggah kenyataan beberapa pemimpin BN yang mengatakan pilihanraya kecil Permatang Pauh penuh dengan keganasan. Usik mengusik dan kata mengata adalah perkara biasa dalam pilihanraya kecil, menurut beliau lagi. Secara bergurau beliau kemudiannya berkata, baru terjumpa kertas bungkus belacan sudah heboh mengatakan ianya bom.

Kira-kira dua ribu orang hadir mendengar ceramah beliau yang diadakan di Kg. Masjid Timah, Permatang Pauh. Turut berceramah bersama beliau adalah Ramlang Porigi, Imam Masjid Wilayah Persekutuan yang menjadi saksi sumpah laknat Saiful Bukhari.

PAS, UMNO, PKR DAN DAP..

Posted in Uncategorized on August 23, 2008 by penjualubat

Aku berbual dengan seorang kawan penyokong UMNO hari ini. Dia melahirkan kerisauannya apabila mendengar Datuk Sri Anwar Ibrahim (DSAI) hendak menjadikan Malaysia negara untuk Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain yang ada ditanahair kita. Bagaimana dengan Ketuanan Melayu yang dipertahankan selama ini? soal beliau.

Aku pun berkata kepadanya, mana ada lagi ketuanan melayu sekarang?  bila pemimpin UMNO dahulu memberi kerakyatan kepada bangsa-bangsa lain untuk menjadi rakyat Malaysia, kita kena terima mereka sebahagian dari kita. Tidak ada sesiapa pun boleh menjadi tuan sekarang. Kalau nak cari kesalahan, salahkan pemimpin-pemimpin UMNO dahulu. Bukannya dengan meniup semangat perkauman macam UMNO buat sekarang.

Aku berkata lagi kepadanya, kami dari PAS sanggup terima Cina, India atau apa bangsa sekali pun untuk menjadi pemimpin kami. Kata-kata aku itu membuat matanya terbeliak, macam mana hang boleh cakap macam tu? dia bertanya. Aku pun menjelaskan kami terima kalau mereka berugama Islam dan taat kepada ajaran Islam. Kawan aku tadi terus terdiam, berfikir agaknya.

Selepas itu dia mempersoalkan mengapa PAS boleh berkawan dengan DAP dan PKR tetapi tidak dengan UMNO. Aku pun berkata kami (PAS) dahulu pernah berkawan dengan UMNO tetapi UMNO menipu kami, kami tak akan tertipu untuk kali kedua. Manakala persahabatan kami dengan DAP dan PKR pula sekarang diperingkat tunggu dan lihat, sekiranya persahabatan kami dengan mereka tidak menguntungkan Islam kami akan mengundur diri.

Aku kemudiannya menerangkan lagi kepadanya sekiranya orang Melayu dapat mengamalkan Islam, dapat menunjukkan keadilan Islam dan Akhlak Islam, bangsa-bangsa lain akan tertarik kepada Islam. Contohnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Beliau baru hanya mengenali kebaikan dan keadilah Khalifah Omar Abdul Aziz, sudah mahu dicontohinya. Bagaimana pula kalau beliau sudah mengenali keadilan dan kebaikan Islam sepenuhnya? tidak mustahil beliau akan mendapat hidayah dan memeluk Islam. Tak perlulah kita hanya memperjuangkan Ketuanan Melayu sedangkan Islam terpinggir. Kawan aku tadi terus menerus terdiam dan akhirnya meminta diri, semoga dia balik berfikir.

Sumpah Najib..

Posted in Uncategorized on August 23, 2008 by penjualubat

Selepas ini kita tidak perlu ke mahkamah lagi, cukuplah dengan mengangkat sumpah. Demikian kata-kata Datuk Sri Anwar Ibrahim ketika mengulas tindakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak yang bersumpah  disebuah masjid bahawa beliau tidak kenal Altuntuya Shaaribuu.

Menurut satu sumber pula ketika selesai solat Jumaat di Masjid Seberang Jaya orang ramai kelihatan berpusu-pusu mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan Datuk Sri Anwar Ibrahim dan kelihatan mereka langsung tidak mempedulikan calon BN Datuk Ariff Shah yang berkebetulan solat di masjid yang sama.

Minyak Turun, Terima kasih Pakatan Rakyat..

Posted in Uncategorized on August 22, 2008 by penjualubat

Jutaan rakyat Malaysia berterima kasih kepada Pakatan Rakyat berikutan pengumuman penurunan harga minyak hari ini oleh pihak Kerajaan Pusat . Walaupun penurunan itu terlalu sedikit namun ianya membuktikan belum pun Pakatan Rakyat dapat memerintah Malaysia ia sudah mampu membuatkan harga minyak turun dan rakyat percaya sudah semestinya harga minyak akan turun lebih murah lagi apabila Pakatan Rakyat memerintah Malaysia nanti.

Sumpah Anwar Meyakinkan Pengundi Atas Pagar..

Posted in Uncategorized on August 22, 2008 by penjualubat

Aku hanya ingin menyampaikan pendapat orang ramai, pendapat ini keluar dari mulut penyokong BN dan  juga penyokong Pakatan Rakyat. Mereka berkata apalah salahnya Datuk Sri Anwar Ibrahim (DSAI) mengikuti jejak langkah Saiful Bukhari untuk melakukan sumpah.

Penyokong BN berkata sesungguhnya tidak ada salah DSAI untuk melakukannya, jika ada pendapat mengatakan Saiful melakukannya dengan tidak ada tertib. DSAI boleh melakukannya dengan lebih baik. Pilihlah mana-mana masjid yang ada dalam Parlimen Permatang Pauh, walaupun ada pendapat mengatakan melakukan sumpah seperti Saiful buat tidak dituntut dalam islam tetapi melakukannya bukan berdosa pun, kata mereka lagi.

Manakala penyokong Pakatan Rakyat pula berkata jika DSAI sanggup berbuat demikian ianya akan meyakinkan lagi pengundi Permatang Pauh untuk mengundi beliau, terutamanya pengundi diatas pagar yang sebelum ini dikatakan tergugat juga hasrat mereka untuk mengundi DSAI apabila mendengar sumpah Saiful. Apakah pandangan DSAI?

Permatang Pauh lagi..

Posted in Uncategorized on August 21, 2008 by penjualubat

Tengok debat dahulu antara Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan Bekas Ketua Menteri Koh Tsu Koon. Kesimpulannya, Lim Guan Eng hebat manakala Koh Tsu Koon baik banyak berbanding Shaberry Chek.

Habis siri debat, keluar lagi ke Permatang Pauh. Malam ini bukan bertujuan untuk mengikuti siri kempen ceramah tetapi sekadar untuk meninjau gerak kerja kedua-dua parti yang bertarung. Kenyataan yang dapat dilihat, dimana sahaja tempat yang dipergi terbukti Pakatan Rakyat mengatasi pihak BN. Sambutan untuk Pakatan Rakyat sentiasa hebat manakala dipihak BN pula memang nampak sangat tidak mampu untuk mengatasi.

Betullah pengakuan seorang kawan penyokong BN. Orang tempatan yang menyokong BN awal-awal sudah menyerah kalah, hendak masuk kedalam kampung untuk merayu undi pun mereka sudah tidak sanggup. Yang sanggup pun orang-orang luar yang datang membantu, itu pun tidak berani memakai baju berlambangkan UMNO. Patutlah Timbalan Perdana Menteri pun ketika singgah disatu Markas Puteri UMNO cabut lari tidak sampai 10 minit beliau sampai kerana tidak sanggup berdepan orang-orang kampung yang membantah kehadiran beliau disitu. Modal yang dibawa UMNO pun sekadar kes tuduhan liwat dan sumpah Saiful, lepas itu kata hendak turunkan harga minyak sedikit hari lagi. Kenapa pula kena tunggu sedikit hari lagi, rakyat tengah susah. Tak faham-faham.

Yang paling menarik perhatian, ramai ahli-ahli PAS berkerja kuat untuk pilihanraya kecil ini. Jika sebelum ini terdengar suara-suara mengatakan ada ahli-ahli PAS akan memboikot pilihanraya ini ternyata ianya meleset. Mungkin kalau ada pun hanya sebilangan kecil sahaja yang langsung tidak memberi kesan.

Kita tunggu sahaja 26 Ogos ini.

Anwar, Permatang Pauh, Mat Sabu dan Firdaus..

Posted in Uncategorized on August 20, 2008 by penjualubat

Hari keempat kempen pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, ceramah Datuk Sri Anwar Ibrahim seperti biasa berjaya menarik ribuan pendengar. Perkataan yang biasa beliau keluarkan setiap kali berucap, hari ini Pakatan Rakyat  perintah, esok harga minyak turun, tidak pernah lupa beliau laungkan.

Tetapi ucapan beliau yang paling menarik perhatian ramai pada malam ini adalah janji beliau sekiranya Pakatan Rakyat memerintah adalah setiap Menteri, setiap Menteri Besar dan Exco-Exco Kerajaan Negeri tidak akan diberi kebenaran memiliki tanah. Hanya rakyat sahaja yang berhak memiliki tanah, adakah boleh BN berjanji begitu kepada rakyat? Tanya beliau kepada hadirin disambut dengan tepukan gemuruh.

Begitulah Datuk Sri Anwar Ibrahim, setiap ucapan beliau memang mampu mempengaruhi orang ramai. Apa yang dapat kita lihat, setiap kali ceramah beliau dalam kempen pilihanraya kecil ini helikopter akan berterbangan diudara tidak kira dimana pun beliau berceramah. Takut benar BN dengan manusia yang bernama Anwar Ibrahim ini.

Dan perkara yang paling menarik pada malam ini, pertemuan yang tidak dirancang antara Naib Presiden PAS Hj. Mohammad Sabu dengan Firdaus Ismail, bekas calon BN Parlimen Permatang Pauh disebuah gerai makan di Butterworth yang juga berjaya menarik perhatian ramai pelanggan gerai tersebut.

Anwar dalam Muktamar PAS..

Posted in Uncategorized on August 19, 2008 by penjualubat

Sementara menunggu detik perasmian Muktamar PAS tempohari oleh Presiden PAS Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang aku sempat berbual-bual dengan beberapa orang ahli PAS  mengenai pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh dan juga mengenai Datuk Sri Anwar Ibrahim (DSAI).

Masing-masing tertanya-tanya adakah DSAI akan hadir dalam Muktamar tersebut kerana ramai dikalangan ahli-ahli PAS menghentam beliau mengenai beberapa perkara dalam Pakatan Rakyat.

Salah seorang dari ahli PAS tadi berkata sekiranya DSAI bijak beliau akan hadir, ternyata DSAI memang hadir walaupun beliau tahu beliau dihentam dalam muktamar tersebut. Beginilah sikap seorang yang benar-benar tahu berpolitik, walaupun dihentam dia kenal siapa kawan dan siapa lawan. Bukan macam sesetengah pemimpin PAS, dengan lawan pun dia nak kawan.